Tun Hanif kesal dengan 'gerakan' memburuk dan menghancurkan negara
Haider Yutim
Disember 11, 2013 18:23 MYT
Disember 11, 2013 18:23 MYT
Bekas ketua polis negara Tun Hanif Omar hari ini menyuarakan kesedihan beliau terhadap 'gerakan' oleh sesetengah pihak yang sering membangkitkan isu-isu yang tidak timbul seperti kedudukan raja-raja dan kesucian agama Islam.
Katanya, pergerakan seperti itu jika tidak dikawal dengan bijak, boleh mengakibatkan kehancuran negara.
"Hati dan perasaan rakyat khususnya orang-orang Melayu dan umat Islam tidak lagi di pedulikan. Patik dan ramai rakan-rakan pesara sangat berasa dukacita dan kadang-kadang terfikir kemanakah negara ini hendak dibawa oleh mereka ini, lebih-lebih lagi bila adanya orang Islam yang mengatakan dia nabi atau tuhan.
"Masya-allah, semacam ada satu ‘Grand Design’ yang sedang digerakkan yang pada pandangan patik, jika tidak di kawal dengan bijaknya boleh menghancurkan negara," kata Tun Hanif dalam ucapannya di jamuan teh diraja bersama pesara kerajaan sempena ulang tahun Sultan Selangor ke-68.
Menurut beliau, hak keistimewaan Bumiputera dipersoalkan dengan sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu, dan kedudukan raja-raja Melayu serta kesucian agama Islam mula dibangkitkan dan dipermainkan.
"Hati dan perasaan rakyat khususnya orang-orang Melayu dan umat Islam tidak lagi di pedulikan. Patik dan ramai rakan-rakan pesara sangat berasa dukacita dan kadang-kadang terfikir kemanakah negara ini hendak dibawa oleh mereka ini, lebih-lebih lagi bila adanya orang Islam yang mengatakan dia nabi atau tuhan," katanya merujuk kepada kes ajaran sesat di negara seperti ajaran 'tuhan Harun' dan juga individu yang mengaku dirinya sebagai nabi.
Selain itu, beliau juga menyatakan kekesalan terhadap tindakan segelintir pemimpin yang sering memburuk-burukkan imej Malaysia semasa mereka mengadakan lawatan ke luar negara.
"Perarakan pemimpin tidak lagi terbatas di dalam negara tetapi hingga ke peringkat antarabangsa. Terdapat sesetengah pemimpin bergerak dari satu negara ke satu negara mencanangkan keburukan negara sendiri dan cuba meraih sokongan dan simpati international (antarabangsa)," ujar Tun Hanif.
Katanya keadaan itu berbeza dengan negara-negara Barat termasuk Amerika Syarikat di mana segala perselihan politik sering berakhir di negara sendiri dan tidak dibawa ke luar negara ataupun arena antarabangsa.
Kata beliau lagi, persepsi bahawa media tradisional telah hilang kredibilitinya menyebabkan media alternatif kini mendapat pengaruh yang amat luas.
Tambahnya, pembohongan serta fitnah pada zaman sekarang juga dilakukan dengan amat terbuka tanpa ada segan silu ataupun perasaan takut kepada Tuhan.
Majlis Jamuan Teh Diraja sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang ke-68 itu telah dihadiri kira-kira 1,200 pesara kerajaan. di Istana Alam Shah, di sini, hari ini.
Majlis tersebut telah diadakan di Istana Alam Shah di mana pesara kerajaan yang hadir itu terdiri daripada pelbagai peringkat jawatan seperti ketua jabatan, juruteknik, pengkeranian, termasuk Ketua Setiausaha Negara dan membabitkan semua sektor.
Turur hadir ialah Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan isteri, Puan Sri Salbiah Tunut; Presiden Persatuan Pesara-Pesara Kerajaan Malaysia, Tan Sri Wan Mahmood Pawan Teh; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Datuk Emran Kadir.