Tun Faisal dibenarkan bertanding MT UMNO
Astro Awani
Oktober 7, 2013 19:19 MYT
Oktober 7, 2013 19:19 MYT
Jawatankuasa Pemilihan Umno hari ini membenarkan Pengerusi Unit Media Baru (UMB), Tun Faisal Ismail Aziz untuk bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dalam Pemilihan parti itu, 19 Oktober depan.
Perkara itu diumumkan oleh pengerusi jawatankuasa tersebut, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali pada satu sidang media pemilihan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) sebentar tadi.
Katanya menurut Fasal 9.5 Perlembagaan Parti, kelayakan hanya diberikan kepada calon yang pernah memegang mana-mana jawatan ahli MT dan Ahli Jawatankuasa Bahagian untuk satu penggal.
Bagaimanapun, jelasnya, Tun Faisal dibenarkan bertanding untuk jawatan ahli MT berdasarkan Fasal 10.15 iaitu bagi langkah kesempurnaan perjalanan parti.
Tambahnya lagi, Tun Faisal merupakan calon yang diketengahkan oleh Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Sementara itu, Tun Faisal dalam reaksinya berkata secara tidak langsung keputusan membenarkannya bertanding menunjukkan bahawa seorang Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mempunyai merit untuk bertanding di peringkat MT berdasarkan sumbangan, pengalaman dan kedudukannya dalam heiraki parti.
“Alhamdulillah, ini membuktikan bahawa Jawatankuasa Pemilihan mengambil kira merit cadangan daripada Pergerakan Pemuda UMNO sekaligus menunjukkan institusi Pemuda UMNO dihormati dan pandangan pemuda khususnya ketua pergerakan itu, YB Khairy Jamaluddin diambil kira,” katanya dalam satu kiriman teks kepada Astro AWANI.
Sebelum ini Tun Faisal dan Prof Datuk Dr Mohd Zainul Fitri Othman disahkan tidak layak bertanding bagi jawatan MT UMNO kerana tidak memenuhi syarat minimum pertandingan bagi jawatan itu.
Menurut laporan, kedua-dua mereka hilang kelayakan kerana tidak pernah menjadi anggota jawatankuasa (AJK) Bahagian yang merupakan syarat kelayakan minimum bertanding jawatan MT.