Tun Dr Mahathir bakal diberi sambutan rasmi di Seoul 27 Nov ini

Rahimah Abdullah
November 23, 2019 19:27 MYT
Ini merupakan lawatan rasmi Perdana Menteri yang pertama ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 pada bulan Mei 2018. - Gambar Fail
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan diberi sambutan rasmi oleh Kerajaan Korea Selatan sempena lawatan beliau yang bermula dari 27 hingga 28 November ini.
Duta Besar Malaysia di Korea Selatan, Datuk Mohd Ashri Muda, berkata, lawatan rasmi itu bakal menyusul selepas berakhirnya Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 2019 di Busan.
Ini merupakan lawatan rasmi Perdana Menteri yang pertama ke Korea Selatan sejak menjawat jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-7 pada bulan Mei 2018.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali akan disambut di Seoul Airbase.
Pada 28 November, Perdana Menteri dijadual menghadiri mesyuarat delegasi bersama Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in di Presidential Blue House.
Pertemuan itu adalah lanjutan kepada perbincangan kedua-dua pemimpin di Kuala Lumpur semasa lawatan Moon Jae-in ke Malaysia dari 12 hingga 4 Mac lalu.
“Antara isu yang akan dibincangkan termasuklah kerjasama dalam perdagangan dan pelaburan, pembangunan industri halal, kerjasama dalam bidang sains kesihatan dan perubatan, teknologi maklumat dan komunikasi, kerajaan digital, pengangkutan, pertahanan serta kerjasama dalam bidang pelancongan dan budaya,” katanya kepada media Malaysia di Busan pada Sabtu.
Kedua-dua pihak juga akan membincangkan usaha untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala antara negara kepada perkongsian strategik, sejajar dengan sambutan ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik Malaysia-ROK pada tahun 2020.
Pada masa sama masa, kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama kepada kedua-dua negara.
“Selepas mesyuarat delegasi, Perdana Menteri dan Presiden Moon akan menyaksikan upacara menandatangani empat Memorandum Persefahaman antara kedua-dua negara.
“Ia adalah Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Sains dan ICT Republik Korea mengenai Kerjasama Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Republik Korea bagi Kerjasama dalam bidang Kerajaan Digital, Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Republik Korea bagi Kerjasama dalam bidang Penjagaan Kesihatan dan Sains Perubatan; dan Memorandum Persefahaman antara Kerajaan Malaysia dan Kementerian Alam Sekitar Republik Korea bagi Kerjasama dalam bidang Pengurusan Air dan Pembentungan,” kata beliau lagi.
Di samping itu, Perdana Menteri juga dijadual menyertai mesyuarat perniagaan meja bulat dengan pemain-pemain utama industri di Republik Korea pada 27 November serta menerima kunjungan hormat oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Daewoo Engineering and Construction Co. Ltd pada 28 November.
“Perdana Menteri juga akan mengadakan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Seoul pada satu majlis jamuan makan malam yang akan diadakan pada 27 November 2019,” tambahnya.
Perdana Menteri dan isteri dijadual pulang ke ibu negara pada sebelah petang 28 November.
Pada tahun 2018, perdagangan dua hala antara Malaysia dan ROK telah mencatatkan peningkatan sebanyak 7.2 peratus kepada AS$17.98 bilion (RM72.60 bilion), berbanding dengan AS$15.76 bilion (RM67.71 bilion) pada tahun 2017.
ROK adalah rakan dagangan Malaysia ke-8 terbesar dan Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke-13 terbesar pada tahun 2018. Malaysia pula adalah rakan dagang ROK ke-14 terbesar bagi tahun yang sama.
Untuk rekod, Malaysia telah menerima seramai 616,783 pelancong dari ROK pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 27.3 peratus.
Dari Januari hingga Julai 2019, sejumlah 393,177 pelancong dari ROK melawat Malaysia, yang mewakili kenaikan sebanyak 10.3 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2018.
Antara 1982 hingga Oktober 2019, sejumlah 1,413 pelajar dan 2,636 kakitangan awam dari Malaysia mengambil bahagian dalam program pembangunan sumber manusia di ROK.
ROK telah dinobatkan sebagai ekonomi paling inovatif di dunia di bawah Indeks Inovasi Tahunan Bloomberg 2019.
Di bawah Dasar Pandang 2.0 (LEP 2.0) yang baharu, Malaysia ingin bekerjasama dengan ROK bagi mempelajari kekuatan ROK dalam teknologi canggih dan inovasi meliputi industri baru, kecerdasan pintar, ekonomi digital, robotik serta pembuatan pintar dan industri aero angkasa.
#Busan #Korea Selatan #Mahathir Mohamad #Perdana Menteri #Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-ROK 201
;