Tun Arshad Ayub selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam
Firdaus Azil
Jun 14, 2022 17:47 MYT
Jun 14, 2022 17:47 MYT
SHAH ALAM: Jenazah tokoh pendidikan negara, Allahyarham Tun Arshad Ayub, 93, selamat dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam, kira-kira pukul 3 petang, Selasa.
Terdahulu, jenazah Allahyarham, yang meninggal dunia kira-kira 2.06 pagi ini, telah dibawa dari Hospital Pakar KPJ Damansara ke Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya untuk solat jenazah.
Selesai dikebumikan, Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya mengambil tempat untuk bacaan talkin ke atas Allahyarham.
Isteri Allahyarham, Toh Puan Zaleh Mohd Arshad kemudian diiringi keluarganya untuk menyiram air mawar di atas pusara Allahyarham.
Media sebelum ini melaporkan, Arshad dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) sejak Selasa lalu kerana masalah kesihatan.
Arshad, 93, adalah pengarah pertama Institut Teknologi Mara (ITM) sejak tahun 1967 sehingga 1975 sekali gus pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di ITM yang kini dikenali sebagai UiTM.
Anak kelahiran Muar, Johor itu pernah bertugas sebagai Ketua Setiausaha Kementerian dan berkecimpung dalam dunia perniagaan serta menjadi ahli lembaga pengarah untuk beberapa syarikat awam dan juga badan-badan berkanun.