Tun Arifin tiba untuk menghadap YDP Agong

Hasimi Muhamad
Jun 15, 2021 01:55 MYT
Tun Arifin Zakaria tiba di Istana Negara pada jam 9.45 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Pengerusi Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 Tun Arifin Zakaria tiba di Istana Negara pada pukul 9.45 pagi bagi menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Bekas Ketua Hakim Negara itu dilihat memasuki Pintu 2 Istana Negara menggunakan kenderaan jenis Proton Perdana berwarna hitam.
Sesi menghadap tersebut berlangsung selepas siri sembah maklum oleh 15 wakil ketua parti pada Rabu hingga Jumaat lalu, sebelum ia berakhir pada Isnin (semalam).
Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 ditubuhkan mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.
Jawatan kuasa itu dipengerusikan oleh Tun Arifin.
Keanggotaannya terdiri daripada pakar kesihatan awam, wakil parti politik pembangkang dan kerajaan, tokoh bidang pendidikan, kesihatan, keselamatan, ketenteraman awam, pentadbiran awam dan undang-undang, mufti serta wakil dewan perniagaan.
#Yang di-Pertuan Agong #Jawatankuasa Khas Bebas Darurat #Tun Arifin Zakaria #Istana Negara #Al-Sultan Abdullah #Bekas Ketua Hakim Negara #Ordinan Darurat