Tun Abdullah gesa usahawan manfaatkan alam semula jadi negara

Bernama
Disember 19, 2012 15:43 MYT
Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menggesa masyarakat agar memanfaatkan kekayaan hasil alam semula jadi di negara ini untuk meraih pendapatan lumayan.
Katanya dengan perkembangan teknologi terkini serta pengenalan bioteknologi, tidak sukar bagi usahawan untuk menghasilkan produk berkualiti daripada alam semula jadi.
"Oleh sebab itu, pada pandangan saya pertanian perlu menjadi perkara utama, jangan kita ingat pertanian itu satu perkara leceh, tidak ada keseronokan, tetapi kalau kita menggunakan teknologi yang ada, kita sebenarnya akan menemui kekayaan yang banyak," katanya.
Beliau menyampaikan ucaptama bertajuk 'Pertanian dengan nilai tambah menjana kesejahteraan hidup' pada majlis Syarahan Bersama Tokoh anjuran Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.
Turut hadir Naib Canselor UPSI Datuk Dr Zakaria Kasa.
Justeru, Abdullah menggesa agar lebih banyak kajian dijalankan bagi memastikan sumber alam semula jadi di negara ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
Beliau yakin hasil alam semula jadi negara mempunyai khasiat yang banyak dan sekiranya dimanfaatkan secara serius ianya mampu dijadikan produk yang berdaya saing di peringkat global.
"Kita ambil contoh tongkat Ali, sumber ini banyak di negara kita dan penyelidikan setakat ini hanya tertumpu kepada akarnya saja sedangkan daun, batang dan kulit juga banyak khasiatnya," katanya.
#alam semula jadi #Tun Abdullah Ahmad Badawi #UPSI
;