Tun Abdul Taib pemimpin tegas tetapi pemurah, prihatin - Nanta Linggi
Bernama
Februari 21, 2024 14:03 MYT
Februari 21, 2024 14:03 MYT
KUALA LUMPUR: Di sebalik ketegasan beliau sebagai pemimpin, ramai yang tidak mengetahui bahawa Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud juga adalah seorang yang pemurah dan prihatin terhadap nasib rakyat, demikian menurut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Berkongsi sifat Allahyarham yang tidak diketahui ramai, Abdul Taib katanya bukan sahaja dianggap seorang yang tegas tetapi juga seorang pemimpin yang amat prihatin terhadap kebajikan rakyat.
"Sebagai contoh, saya tidak pernah meminta apa- apa (bantuan) daripada Tun (Abdul Taib) tetapi hati saya sangat tersentuh kerana pada tahun terakhir beliau menjadi Ketua Menteri Sarawak, beliau ada bertanyakan kepada saya jika ada perkara-perkara yang boleh dibantu di kawasan (Kapit).
"Saya kemukakan (permohonan), kemudian beliau meluluskan permohonan saya untuk mendapatkan sebidang tanah untuk dibangunkan. Jadi itulah maksud saya mengenai sifat sebenar Allahyarham. Beliau tidak lupa mereka yang berada di sekelilingnya, " katanya pada Program Reaksi terbitan Bernama Radio hari ini.
Sebagai 'orang lama' dalam politik, Nanta yang pernah menjadi Setiausaha Politiknya selama tujuh tahun berkata Allahyarham juga banyak mendidik wakil rakyat seperti beliau yang baru berjinak-jinak dalam bidang tersebut.
Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) itu juga pernah diberikan kepercayaan untuk menerajui beberapa jawatan penting dalam sektor swasta termasuk menyertai Lembaga Pengarah Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
"Saya masih ingat Tun (Abdul Taib) pernah berkata kita harus pandai bersyukur dan apabila diberi peluang, kita harus menggunakan peluang itu sebaiknya untuk menjalankan tanggungjawab yang diberi.
"Itu nasihat beliau yang saya tidak boleh lupa, walaupun nampak simple tetapi sangat relevan dan penting untuk semua wakil rakyat," katanya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di Kuala Lumpur pada 4.40 pagi hari ini.
Pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.