Tun Abdul Rahman dilantik semula sebagai YDP Negeri Pulau Pinang

Bernama
April 28, 2017 15:18 MYT
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan suratcara pelantikan kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas pada istiadat di Istana Negara hari ini. -BERNAMA
Tun Abdul Rahman Abbas hari ini dilantik semula sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang untuk penggal ketujuh.
Abdul Rahman, 79, menerima Surat Cara Pelantikan bagi tempoh empat tahun daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V dalam istiadat di Istana Negara di sini.
Ia dihadiri Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Seri S. A. Vigneswaran dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.
Dilahirkan pada 15 April 1938 di Kampung Permatang Rambai, Kepala Batas, Pulau Pinang, Abdul Rahman mula dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada 2001.
Beliau dilantik semula ke jawatan sama pada 2005, 2009, 2011, 2013 dan 2015.
Beliau yang mempunyai ijazah kepujian dalam bidang Kesusasteraan daripada Universiti Malaya (UM) pada 1972, pernah menjadi pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang selama tiga tahun bermula pada 1982.
-- BERNAMA
#Abdul Rahman Abbas #Agong #Sultan Muhammad V #surat cara pelantikan #Yang di-Pertuan Agong #Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang