Tumpu penguatkuasaan, pencegahan tangani rasuah pasca pemulihan COVID-19 - SPRM

Astro Awani
November 19, 2020 15:54 MYT
Azam berkata, pembukaan pintu sempadan boleh menyebabkan aktiviti seperti penyeludupan, pemerdagangan dan kemasukan secara haram berlaku. - Gambar SPRM.
PUTRAJAYA: Kegiatan jenayah membabitkan rasuah termasuk penyeludupan, pemerdagangan dan kemasukan ke sesebuah negara secara haram boleh berlaku setelah pembukaan semula pintu sempadan ketika fasa pasca pemulihan COVID-19.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berkata, ruang untuk aktiviti rasuah akan terbuka semula dalam fasa berkenaan.
“Fasa pemulihan krisis COVID-19 akan membolehkan aktiviti perniagaan mula berkembang dan situasi ini bakal membuka ruang untuk berlakunya kegiatan rasuah," katanya.
Beliau berkata demikian semasa mewakili Malaysia mempengerusikan mesyuarat Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group (ACTWG) Friends of The Chair (FoTC) bersama wakil-wakil daripada sembilan ahli ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) yang diadakan secara maya di Ibu Pejabat SPRM, Selasa lalu.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Dasar, Perancangan dan Penyelidikan selaku Ketua Delegasi Malaysia, Mohd Hafaz Nazar.
Sembilan ahli ekonomi APEC yang menyertai mesyuarat ini ialah Malaysia, Chile, China, Thailand, Kanada, Amerika Syarikat, New Zealand, Vietnam dan Australia, serta Sekretariat APEC yang berpangkalan di Singapura yang diwakili oleh Denisse Hurtado.
Mengulas lanjut, Azam berkata, berikutan itu, ACTWG FoTC mencadangkan agar penguatkuasaan serta aspek pencegahan efektif dilaksanakan bagi menangani trend perlakuan rasuah dalam tempoh pemulihan berkenaan.
Selain itu, katanya antara agenda utama dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk pelaksanaan Pelan Strategik ACTWG 2019-2022 serta program kerja dan inisiatif New Zealand yang bakal menjadi tuan rumah APEC pada 2021.
Dalam pada itu, Azam menzahirkan keyakinan New Zealand dapat menganjurkan APEC ACTWG dan Anti-Corruption Authorities and Law Enforcement Agencies (ACT-NET) pada tahun 2021 dengan berjaya atas sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli.
“Pertemuan ini juga merupakan permulaan yang baik untuk wakil sembilan ahli ekonomi APEC berkumpul dan membincangkan pelbagai inisiatif jangka panjang untuk ACTWG dan ACT-NET dalam perkongsian untuk membanteras rasuah dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Di samping itu, Azam juga berharap New Zealand mendapat manfaat daripada penganjuran ACTWG dan ACT-NET oleh Malaysia pada tahun ini sebagai penanda aras dan rujukan penting untuk penganjuran pada tahun hadapan.
Tambah beliau, perbincangan kali ini juga merupakan penghargaan kepada Malaysia sebagai tuan rumah APEC pada tahun ini yang mana SPRM sebagai peneraju mesyuarat ACTWG sejak siri pertama diadakan pada Februari lalu.
#SPRM #Datuk Seri Azam Baki #Mesyuarat Anti-Corruption and Transparency Experts Working Group #Rasuah #Friends of The Chair FoTC #COVID-19