Tumpat, Pasir Mas dan Bachok masih terjejas banjir

Sinar Harian
Disember 5, 2024 09:20 MYT
MetMalaysia meramalkan hujan di beberapa tempat pada pagi, petang dan malam di seluruh negeri dari 5 hingga 11 Disember. - Gambar fail/BERNAMA
KOTA BHARU: Keadaan banjir di Kelantan bertambah baik apabila tiga daerah sahaja disenaraikan masih mempunyai mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS).
Portal Info Bencana JKM yang dikemas kini pada jam 7.40 pagi melaporkan sebanyak 87 PPS dibuka kepada 34,672 mangsa membabitkan 11,041 keluarga.
Tumpat menjadi daerah paling ramai mangsa setakat ini iaitu 19,140 membabitkan 5,989 keluarga yang masih tinggal di 46 PPS.
Sementara itu, seramai 15, 491 mangsa banjir di Pasir Mas berada di 46 PPS dengan jumlah keseluruhan keluarga iaitu 5,039.
Di Bachok pula, sebanyak 13 keluarga membabitkan 41 mangsa berada di dua PPS.
Jumlah kawasan yang masih digenangi air di Pasir Mas ialah sembilan manakala dua pula di Bachok.
Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan di beberapa tempat pada pagi, petang dan malam di seluruh negeri dari 5 hingga 11 Disember.
Jabatan itu turut meramalkan ribut petir di beberapa tempat dengan kelajuan angin antara 20 hingga 30 kilometer (km) perjam manakala ombak setinggi 1.0 hingga 1.5 meter (m). - Sinar Harian
#PPS #banjir #MetMalaysia #mangsa banjir
;