Tumpahan minyak: Pembersihan Pantai Sungai Rengit, Teluk Ramunia bermula hari ini

Bernama
Jun 21, 2024 15:45 MYT
Kerja-kerja pembersihan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia bermula pada 9.30 pagi hari ini. - Gambar/ Bernama
JOHOR BAHRU: Kerja-kerja pembersihan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia susulan tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang, bermula secara rasmi 9.30 pagi hari ini.

Ringkasan AI
  • Kerja-kerja pembersihan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia bermula pada 9.30 pagi hari ini akibat tumpahan bahan api marin (MFO) di perairan Pengerang. Syarikat insurans kapal yang terlibat dalam pelanggaran akan menanggung kos pembersihan tersebut.
  • Pelanggaran kapal pada 14 Jun di pelabuhan Singapura menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan. Ombak bergelora menyebabkan minyak hanyut ke perairan Pengerang, mencemari satu kilometer garis pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia.
  • Jabatan Alam Sekitar Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Laut, dan agensi berkaitan akan memantau kerja pembersihan. JAS Johor juga bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Singapura untuk menyelesaikan insiden pencemaran minyak ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata syarikat insurans kapal yang terbabit dalam pelanggaran dan mengakibatkan tumpahan itu, telah melantik kontraktor untuk kerja-kerja pembersihan tersebut dan akan menanggung kos terlibat.
"Kejadian pelanggaran kapal pada Jumaat minggu lepas (14 Jun) di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura telah menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.
"Dengan keadaan ombak yang bergelora selama beberapa hari, tumpahan minyak tersebut telah hanyut ke perairan negara kita iaitu di Pengerang dan pada pagi Rabu lepas, kesan tumpahan minyak tersebut telah ditemukan di pantai Sungai Rengit dan Teluk Ramunia dan telah mencemarkan kira-kira satu kilometer garis pantai di sini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor, Pejabat Daerah Kota Tinggi, Jabatan Laut dan agensi berkaitan akan memantau kerja-kerja tersebut bagi memastikan kawasan pantai dan permukaan laut yang tercemar dibersihkan dan keadaan kembali seperti biasa.
Ling berkata JAS Johor juga akan terus bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Singapura untuk memastikan insiden pencemaran minyak itu dapat diselesaikan dengan berkesan.
Semalam, beliau dilaporkan berkata JAS Johor giat menjalankan pemantauan susulan kes pelanggaran antara kapal Vox Maxima dari Belanda dengan kapal tangki minyak Marine Honor dari Singapura di Terminal Pasir Panjang, Singapura.
-- BERNAMA
#tumpahan minyak #Singapura #Johor #kawasan terjejas
;