Tumpahan gam: Penduduk dinasihat tidak gunakan air Sungai Bariawa dan Pegalan
Bernama
April 2, 2022 20:45 MYT
April 2, 2022 20:45 MYT
KENINGAU: Penduduk dinasihatkan tidak menggunakan air dari Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan di sini susulan kejadian tumpahan gam akibat kemalangan membabitkan sebuah lori treler yang membawa muatan gam di Simpang Bariawa di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Keningau DSP Nor Rafidah Kassim berkata dalam kejadian pada 11.40 malam itu, sebuah lori treler dari Kota Kinabalu menuju sebuah kilang papan lapis di sini telah hilangan kawalan semasa menuruni bukit sebelum terbabas dan terlanggar tebing bukit.
Beliau berkata pemandu lori tidak mengalami kecederaan, bagaimanapun kemalangan tersebut mengakibatkan lori berkenaan pecah dan tumpahan sisa gam mengalir ke kawasan aliran sungai kecil di Kampung Bariawa.
"Pasukan dari Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia telah melakukan pemantauan di tempat kejadian dan mengambil sampel air sungai untuk tindakan lanjut. Laporan lanjut telah diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk tindakan.
"Orang awam dinasihatkan agar tidak membuat sebarang aktiviti di sungai tersebut yang disyaki tercemar," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sementara itu, Pegawai Daerah Keningau Walter Kenson dalam kenyataan berasingan meminta penduduk kampung yang tinggal di kawasan Sungai Bariawa dan Sungai Pegalan agar tidak menggunakan air sungai itu sehingga disahkan selamat oleh JAS.
Beliau berkata antara kawasan yang terjejas termasuk Bariawa Ulu, Bariawa Tengah, Bariawa Laut, Lingkudou, Durok, Masak, serta Ansip, dan penduduk juga diminta memaklumkan sahabat serta saudara mara yang tinggal di sepanjang sungai berkenaan agar menghindari air sungai tersebut.
"Tumpahan kimia (gam) tersebut mengangandungi bahan Phenol Formaldehyde Resin yang diketogorikan sebagai toksik dan berbahaya kepada pengguna air sepanjang sungai yang tercemar.
"Jika sekiranya terdapat penduduk yg mengalami masalah kesihatan akibat penggunaan air dari sungai tersebut diminta segera ke hospital atau klinik perubatan berdekatan bagi mendapatkan rawatan segera," katanya.
-- BERNAMA