Tumpahan asid dikesan ketika kerja pemunggahan di Lapangan Terbang Bintulu
Rohana Wahed
Januari 6, 2019 06:20 MYT
Januari 6, 2019 06:20 MYT
Satu tumpahan asid berlaku di ruangan kargo pesawat milik syarikat penerbangan tambang rendah Air Asia pada Sabtu.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak dalam satu kenyataan berkata, tumpahan bahan kimia jenis Asid Asetik itu dikesan ketika kerja-kerja pemunggahan barang dilakukan di Lapangan Terbang Bintulu.
Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak Tiong Ling Hii, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.54 malam.
"Dilaporkan satu tumpahan asid telah berlaku di dalam kargo kapal terbang. Susulan itu, pasukan bomba bertindak menabur sodium karbonat di kawasan tumpahan bagi meneutralkan kandungan asid," katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ling Hii berkata, pihaknya kemudian mengalihkan kuantiti asal ke lokasi selamat untuk dilupuskan.
Bagaimanapun kata Tiong operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 12 tengah malam sebelum disambung semula pada 9 pagi Ahad.
Ia kerana operasi perlu dilaksanakan dengan jurutera Air Asia yang diterbangkan dari Kuala Lumpur.
Bagaimanapun keadaan dilaporkan terkawal.