Tumbuk kakitangan Puspakom, pemilik lori didenda RM1,600

Sinar Harian
Januari 24, 2025 13:15 MYT
Koh Soon Hua (kiri) bersama pegawai penyiasat sebelum prosiding mahkamah hari ini. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Seorang warga emas yang tular menumbuk seorang kakitangan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (Puspakom) didenda RM1,600 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin menjatuhkan hukuman berkenaan setelah tertuduh, Koh Soon Hua, 60, mengaku bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.
Tertuduh, yang tidak bekerja itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Berdasarkan kertas pertuduhan suspek didakwa melakukan perbuatan tersebut pada 16 Januari lalu ketika membawa lori miliknya menjalani pemeriksaan di Puspakom, cawangan Johor Bahru, Taman Daya.
Oleh itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Aishah Latiff manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, media melaporkan seorang lelaki, bertindak menumbuk muka seorang kakitangan Puspakom kerana disyaki tidak berpuas hati setelah lorinya gagal dalam ujian brek ketika pemeriksaan berkala.
Malah, insiden yang turut dirakam kan kamera litar tertutup (CCTV), di Puspakom itu turut tular di laman sosial
Susulan itu, kakitangan Puspakom berkenaan mengalami lebam di telinga dan telah membuat satu laporan polis pada 18 November.
Tertuduh juga berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan bayaran denda yang dikenakan.
Tertuduh kemudiannya membayar denda berkenaan. - Sinar Harian
#tumbuk kakitangan Puspakom #pemilik lori #Mahkamah Majistret Johor Bahru #Puspakom
;