Tumbuk emak, remaja dipenjara 5 bulan
Sinar Harian
Jun 25, 2018 12:42 MYT
Jun 25, 2018 12:42 MYT
Jika kebiasaan ibu bapa menerima sampul duit raya daripada anak-anak sempena Aidilfitri, berbeza pula bagi seorang ibu di Bandar Jengka di sini apabila menerima hadiah penumbuk dan penendang dari anaknya sendiri.
Kejadian berlaku di tandas awam stesen Jengka Sentral ketika si ibu sedang bekerja, mengakibatkan mangsa ketakutan dan trauma.
Bagaimanapun, si anak telah menerima padahnya apabila Majistret Majistret Noor Syafiqah Noordin menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap Nazrul Azwan Nazri, 19 tahun, atas kesalahan itu.
Dalam kejadian tersebut, Nazrul Azwan mengaku bersalah dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya Normah Mehhad, 56 tahun, ketika ibunya itu berada di tempat kerjanya, di hadapan tandas awam stesen bas Jengka Sentral, Bandar Tun Abdul Razak Jengka di sini, kira-kira jam 1 tengah hari, 17 Jun lalu.
Berdasarkan fakta kes, semasa ibunya berada di lokasi tersebut, Nazrul Azwan telah datang meminta duit.
Apabila kehendaknya tidak dituruti, dia telah bertindak menumbuk mata kiri dan menendang dada ibunya itu.
Akibat perbuatannya Normah telah mengalami bengkak mata kiri dan sakit bahagian dada lalu bertindak melaporkan kejadian tersebut kepada polis.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda tidak lebih RM2,000 atau kedua duanya, jika sabit kesalahan.
Noor Syafiqah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan bermula daripada tarikh dia ditangkap.
Dalam penghakimannya, Noor Syafikah berkata, meskipun Nazrul Azwan merupakan pesalah muda, namun beliau telah mengambil kira keterangan mangsa terhadap polis yang direkodkan bahawa dia takut dan trauma.
"Dari segi psikologi, ibu kamu sendiri berasa takut dan trauma terhadap tindakan yang kamu lakukan.
"Sepatutnya seorang ibu tidak ada rasa takut dan trauma kepada anak sendiri, tapi kenyataan ibu kamu menunjukkan betapa kamu tidak patut berbuat demikian.
"Keputusan mahkamah dibuat berdasarkan kenyataan mangsa, iaitu ibu kamu sendiri. Dengan itu kamu dijatuhkan hukuman penjara lima bulan dari tarikh tangkapan," katanya.
Di mahkamah sama, Nazrul Azwan juga berdepan pertuduhan berkaitan dadah di bawah Seksyen 15(1)(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah menetapkan 23 Julai untuk sebutan semula kes dadah tersebut.