Tumbang kerajaan: Sampai bila rakyat tanggung keadaan sebegini? - Sultan Ibrahim
Nickyson Nyambar
Mei 3, 2023 20:50 MYT
Mei 3, 2023 20:50 MYT
KUALA LUMPUR : Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar bertitah menyuarakan kebimbangan baginda berkenaan desas-desus yang menyentuh mengenai kestabilan kerajaan.
Ini selepas pemimpin yang dipilih melalui Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu dilihat masih belum bersepakat, malah terdapat gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu, dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
“Namun, sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
"Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita, baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini?," titah baginda.
Ujar baginda lagi, ekonomi negara harus dipulihkan, dan ini termasuk kesejahteraan serta kemakmuran negara yang perlu diutamakan.
Sultan Ibrahim berkata demikian dalam titah yang dikongsikan di laman sosial rasmi baginda pada Rabu.