Tulisan 'Mereka Yang Berkuasa' dalam blog Chedet bukan ditujukan kepada kerajaan
Aizat Sharif
April 25, 2014 20:41 MYT
April 25, 2014 20:41 MYT
Pandangan dan gesaan yang ditulis oleh mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam entri terbaru dalam blog ‘CheDet’ yang bertajuk ‘Mereka Yang Berkuasa’ bukanlah ditujukan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Namun, menurut beliau, tulisan itu adalah berbentuk umum dan ditujukan kepada semua lapisan masyarakat.
“Apabila kita bercakap tentang ‘mereka yang berkuasa’, kita selalu akan mengatakannya ianya berkaitan dengan kerajaan tetapi sebenarnya semua orang mempunyai kuasa sedikit sebanyak termasuk pengundi yang berkuasa menentukan siapa yang bakal menjadi kerajaan,” kata Tun Dr Mahathir dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) disini petang tadi.
Malah, media juga mempunyai kuasa dalam penyampaian maklumat kepada masyarakat dan tidak seharusnya sekali-kali diputar belitkan.
Tambahnya lagi, dalam hal ini, semua orang berkuasa dan jika semua orang berpegang kepada benda yang baik dan mendatangkan faedah sudah tentu ianya pasti dapat membangunkan negara.
“Desakan saya dalam penulisan saya itu, semua orang yang berkuasa menggunakan kuasa itu dengan cara yang baik dan tidak menyalahgunakan kuasa kerana kepentingan diri atau kerana benci kepada orang dan sebagainya,”.
Dalam entri blog ‘Chedet’ menerusi tajuk ‘Mereka Yang Berkuasa’, Tun Dr Mahathir pada 23 April, Tun Dr Mahathir meluahkan gesaannya supaya pihak atau individu yang berkuasa menggunakan kuasanya dengan betul dan harus sentiasa boleh menerima teguran atau kritikan membina jika didapati melakukan kesilapan.
Beliau turut menggesa agar segala teguran yang diberi haruslah dilihat sebagai usaha untuk memperbaiki diri.
Namun menurutnya, di Malaysia ini, tidak ramai yang sanggup menasihati atau menegur pihak yang berkuasa ini dek disebakan takut dipandang serong atau dimarahi oleh pihak yang berkuasa ini.
Tun Dr Mahathir ditemui selepas merasmikan buku ‘Saya, SPR dan Pilihan Raya’ tulisan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar.
Turut hadir dalam majlis berkenaan adalah isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.