Tulis ancaman bom atas bungkusan, pekerja stor didenda RM3,000
Bernama
April 29, 2024 21:42 MYT
April 29, 2024 21:42 MYT
SEPANG: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM3,000 ke atas seorang pekerja stor yang mengaku menulis ancaman bom di atas bungkusan untuk penghantaran di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), minggu lepas.
Muhammad Rozali Rahim, 23, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Bukhori Md Ruslan.
Dia didakwa sengaja menakutkan secara jenayah dengan menulis ayat ugutan 'Awas Jangan Campak Nanti Meletup!! Ini Boom!!' pada bungkusan kiriman seseorang di mesin pengimbas di Pusat Kargo KLIA pada 11.42 pagi 25 April lepas.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah memerintahkan Muhammad Razali menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap dan tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Sabrina Zubairi.
-- BERNAMA