Tular warga asing kencing merata-rata

Sinar Harian
Mei 7, 2023 14:23 MYT
Kejadian membabitkan warga asing membuang air merata-rata di sekitar pintu masuk dan keluar Malaysia dan Singapura bukanlah kali pertama berlaku. - Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Tindakan individu dipercayai warga asing membuang air kencing di bangunan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Bangunan Sultan Iskandar (BSI) yang tular sejak Sabtu, mengundang kecaman orang ramai
Berdasarkan video berkenaan, kawasan yang terpencil dan sedang dibaik pulih dilihat menjadi sasaran untuk membuang air kencing.
Rata-rata orang ramai yang meninggalkan komen di media sosial, menyifatkan tindakan tersebut biadab kerana memberi kesan kepada kebersihan di BSI yang merupakan laluan utama keluar masuk Malaysia-Singapura.
Ini bukan pertama kali kejadian membabitkan warga asing membuang air merata-rata di sekitar pintu masuk dan keluar Malaysia dan Singapura.
Pada 13 Jun tahun lalu, tular di media sosial Facebook yang memaparkan dua lelaki sedang membuang air kecil di bawah pokok di lokasi berhampiran Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, pihaknya mengambil maklum kejadian tersebut yang tular di media sosial.
"Setakat ini, polis tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu. Bagaimanapun, polis akan mengambil tindakan susulan termasuk memeriksa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di BSI," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Sebelum itu, tular video berdurasi 23 saat yang tular, seorang lelaki menyergah dan memarahi tindakan seorang wanita yang membuang air kecil merata-rata di kawasan dekat BSI. -- Sinar Harian
#air kencing #CIQ #Johor Bahru #warga asing
;