Tular SUV dihanyut air bukan berlaku di Tapah
Abd Razak Mohd Ali
Jun 14, 2023 05:15 MYT
Jun 14, 2023 05:15 MYT
TAPAH: Polis menafikan kononnya sebuah kenderaan serba guna (SUV) yang dihanyutkan air berlaku di Jalan Tapah ke Cameron Highlands seperti ditularkan.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 1 minit 54 saat itu tular di media sosial kira-kira jam 6.30 petang Rabu.
Menurutnya, ekoran dari itu, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mengesahkan tiada sebarang kejadian berlaku di Jalan Tapah ke Cameron Highlans seperti ditularkan.
“Pihak polis mengingatkan supaya menghentikan penularan video berkenaan yang boleh menimbulkan kegusaran kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.
Tegasnya, penularan video itu boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media (SKMM) 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000, penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Tambahnya, di bawah Seksyen 505b Kanun Keseksaan pula, jika sabit kesalahan boleh di hukum penjara sehingga dua tahun dan denda atau kedua-dua sekali.
Terdahulu tular video berdurasi 1 minit 55 saat, sebuah SUV dihanyutkan kepala air ketika cuba melalui sebatang jalan yang sedang dinaiki air.