Tular rakaman CCTV, suspek pecah rumah di Sentul ditahan

Bernama
Ogos 15, 2024 09:45 MYT
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dalam sembilan kes pecah rumah di Residensi Sky Awani 1 dan 2 di Sentul di sini, pada 8 Ogos lepas.
Ketua Polis Daerah Sentul ACP Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata lelaki berusia 26 tahun yang dikenali sebagai Azmal itu ditahan di Kampung Baru di sini pada 9.30 malam.
Beliau berkata kegiatan jenayah suspek terbongkar selepas kegiatannya yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah premis di residensi berkenaan tular di media sosial.
"Pihak polis menerima laporan daripada seorang lelaki pada 1 Ogos lepas apabila kediamannya di Batu Muda dipecah masuk suspek pada 31 Julai.
"Hasil siasatan mendapati kegiatan itu dilakukan lelaki tersebut bersendirian dengan menyasarkan Residensi Sky Awani 1 dan Sky Awani 2. Modus operandi suspek ialah memanjat tembok batu di ruang pejalan kaki dan menyelinap masuk melalui pintu dapur rumah mangsa yang tidak berkunci," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, hari ini.
Menurut Ahmad Sukarno rakaman CCTV itu membantu pihak polis mengenal pasti dan kemudiannya menahan suspek yang tidak tinggal di kondominium itu sebaliknya memasuki premis dengan mengekori penghuni lain.
"Suspek menyasarkan barangan berharga antaranya barang kemas serta elektronik dan akan menjual semula barangan yang dicuri," katanya.
Polis turut merampas dua telefon bimbit, salinan dokumen pajak gadai dan kad akses kondominium yang dipercayai diambil daripada sebuah rumah yang dipecah masuk, katanya yang turut mengesahkan suspek direman sehingga esok.
Ahmad Sukarno berkata dengan penahanan suspek yang mempunyai dua rekod jenayah lampau itu, pihaknya telah menyelesaikan sembilan kes pecah rumah terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan (pecah rumah).
-- BERNAMA
#kes pecah rumah di Sentul #suspek ditahan #polis Sentul #Rakaman CCTV #Residensi Sky Awani