Tular PPV sesak: Keadaan kembali terkawal di Rumah Prihatin Grand Seasons

Eton Khir
Ogos 12, 2021 17:05 MYT
IRWAN RIZAL: Mereka mungkin tersalah faham dengan menyangka bahawa mana-mana PPV dibenarkan untuk pengambilan vaksinasi kepada kumpulan tersebut. - Twitter/irwanyouth
KUALA LUMPUR: Salah faham menjadi punca Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Rumah Prihatin Grand Seasons, Kuala Lumpur diserbu warga asing sehingga mengakibatkannya sesak, semalam.
Timbalan Pengarah Eksekutif Rumah Prihatin, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali Napiah berkata, premis itu sebenarnya hanya menerima janji temu untuk warganegara sahaja.
Dengan keutamaan kepada golongan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kelompok terpinggir serta golongan rentan.
"Mereka mungkin tersalah faham dengan menyangka bahawa mana-mana PPV dibenarkan untuk pengambilan vaksinasi kepada kumpulan tersebut.
"Alhamdulillah dengan jasa baik rakan-rakan media memberi penerangan, saya rasa salah faham daripada pihak warga asing ini boleh dikurangkan. Insya-Allah," katanya ketika ditemui di program vaksinasi Rumah Prihatin di bawah Program Vaksinasi Mymedik@Wilayah, pada Khamis.
Irwan Rizal dalam pada itu menegaskan, keadaan tersebut dapat dikawal dengan bantuan pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
"Penambahbaikan operasi sentiasa berlaku setiap hari dengan melakukan post-mortem dan perbincangan mengenai isu berbangkit bagi untuk persiapan hari ini, esok, dan seterusnya.
"Kita bekerjasama baik dengan pelbagai agensi termasuk DBKL, pihak berkuasa dan juga agensi-agensi lain untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dilakukan dan dipantau dengan lebih ketat," jelasnya.
Sebelum ini, tular satu video berdurasi lebih 7 minit memaparkan situasi sesak dengan tiada penjarakan fizikal di luar perkarangan premis tersebut sekali gus mengundang kegusaran dalam kalangan orang ramai.
#DBKL #Kuala Lumpur #OKU #PPV #program vaksinasi #SOP #vaksin #video #warga asing #warga emas
;