Tular: Perarakan bendera Komunis di Butterworth? Ini reaksi polis
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 25, 2019 19:45 MYT
Disember 25, 2019 19:45 MYT
Polis menafikan rakaman tular di laman sosial yang didakwa perarakan membawa bendera Parti Komunis Malaya (PKM), sebaliknya ia adalah perarakan sempena Pesta Chingay yang diadakan di Butterworth.
Ketua Polis Daerah Seberang Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor memaklumkan, video berdurasi 1:15 minit itu dirakam di Jalan Raja Uda, Butterworth sebenarnya bukanlah perarakan membawa bendera Komunis seperti yang didakwa.
"Tiada sebarang perarakan yang membawa bendera Komunis berlaku seperti yang ditularkan. Perarakan tersebut adalah sempena Perarakan Pesta Chingay Pulau Pinang ke-11 yang telah berlangsung pada Ahad lepas," katanya.
Menurut Noorzainy, perarakan tersebut telah disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dan juga badan bukan kerajaan (NGO).
Perarakan tersebut adalah anjuran Exco Pembangunan, Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Pulau Pinang.
Perarakan tersebut telah bermula jam 6.00 petang dari Dataran Pemuda Butterworth dan turut dihadiri oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
"Bendera yang dibawa oleh salah satu kontinjen perarakan adalah bendera yang tertera tulisan KIWANIS iaitu sebuah pertubuhan sukarelawan di Malaysia," kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara.
Menurut Noorzainy, semasa perarakan tersebut lebih kurang 50 orang anggota telah bertugas mengawal keadaan dan lalu lintas.
Sehubungan itu, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan rakaman yang tidak sahih kebenarannya semata-mata untuk menarik minat netizen yang lain.
Dalam pada itu, polis sedang berusaha untuk mengesan pelaku yang merakam dan menularkan video tersebut bagi membantu siasatan.
#Butterworth
#Chow Kon Yeow
#Jalan Raja Uda
#Kiwanis
#Parti Komunis Malaya
#perarakan bendera Komunis
#Pesta Chingay
#PKM
#Polis Daerah Seberang Utara