Tular isu buli: PIBG MCKK buat laporan polis, mahu ambil tindakan undang-undang
Fareez Azman
November 8, 2023 16:41 MYT
November 8, 2023 16:41 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) membuat laporan polis terhadap tiga pemilik akaun media sosial berhubung kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik di laman sosial membabitkan institusi pendidikan itu.
Menurut peguam yang mewakili PIBG dan ahli keluarga pelajar, Hasshahari Johari Mawi, pihaknya telah mendapat arahan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap kesemua mereka yang terlibat.
"Peguam yang ada di sini telah mendapat arahan untuk meneruskan tindakan undang-undang memandangkan ada beberapa hantaran berunsur fitnah dan juga fakta tidak benar.
"Ia termasuk perintah tegahan (gag order) kepada beberapa hantaran yang telah dimuat naik di media sosial dan beberapa individu... dan pengguna di media sosial tersebut telah dikenal pasti.
"Sebelum ini ia (kes) telah diselesaikan di peringkat sekolah... tetapi semenjak akhir-akhir ini fakta tersebut semakin ditularkan... dan sehinggalah hari ini (mendorong) tindakan dibuat PIBG," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media bersama beberapa ahli keluarga pelajar selepas membuat laporan polis di Balai Polis Travers di ibu negara pada Rabu.
Tambah Hasshahari, pihaknya juga telah mengenal pasti beberapa individu dan pengguna media sosial yang dipercayai menjadi punca perkara itu tular di laman sosial.
Beliau berkata, pada masa sama, pihaknya menyerahkan kepada polis untuk meneruskan siasatan kes itu.
Sementara itu, wakil keluarga pelajar yang enggan namanya disiarkan, memaklumkan laporan polis itu dibuat susulan ugutan dan ancaman yang diterima oleh pelajar-pelajar MCKK berikutan penularan isu terbabit.
"Ugutan dan ancaman yang diterima oleh anak-anak, ibu bapa dan penjaga dan guru-guru MCKK... sekarang ini tersebar berleluasa di media sosial.
"Jadi kita berharap dengan laporan polis ini orang ramai akan berhenti mengeluarkan komen-komen berunsur fitnah terhadap pelajar-pelajar, ibu bapa dan guru-guru MCKK," katanya.
Sebelum ini, PIBG MCKK dalam satu kenyataan, menyelar tindakan cubaan campur tangan ibu bapa dalam pengurusan sekolah berhubung satu kes buli melibatkan pelajar institusi itu.
Tindakan menularkan kes tersebut jelas PIBG MCKK, hanya memberi impak besar dan imej buruk kepada MCKK secara keseluruhannya.
Malah kes terbabit telah diambil tindakan oleh pihak sekolah.
Isu tersebut mula tular selepas beberapa individu memuat naik dakwaan anaknya yang juga penuntut di institusi berkenaan dibuli.
Jelasnya dalam hantaran itu, perkongsian dibuat kerana mahukan keadilan ditegakkan terhadap anaknya yang berusia 16 tahun yang didakwa dibuli pada 24 September lalu.