Tular gambar bedah siasat Zayn Rayyan: Pihak pembelaan belum terima perkembangan siasatan
Astro Awani
September 18, 2024 12:30 MYT
September 18, 2024 12:30 MYT
PETALING JAYA: Pihak pembelaan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf, ibu bapa kanak-kanak autistik Zayn Rayyan Abdul Matiin, masih belum menerima sebarang perkembangan terkini berhubung siasatan terhadap kebocoran gambar bedah siasat di aplikasi Telegram sebelum ini.
Menurut Peguam, Fahmi Abd Moin, pihaknya sebelum ini dimaklumkan siasatan berhubung perkara tersebut dijalankan oleh pihak polis.
Jelasnya, laporan berkaitan kebocoran gambar dan maklumat kanak-kanak tersebut dibuat oleh salah seorang ahli keluarga Zaim Ikhwan sendiri serta pihak polis.
"Difahamkan ada siasatan yang dijalankan berkaitan perkara berkenaan bagaimanapun masih belum ada kesimpulan berhubung kes itu.
"Dalam soal ini, bukan kita mendiamkan diri namun menunggu sama ada siasatan tersebut dibuat secara telus dan adil serta apa hasil daripada siasatan dijalankan," katanya ketika ditemui selepas selesai sesi perbicaraan di pekarangan luar Kompleks Mahkamah di sini hari ini.
Ujarnya lagi, pihak keluarga Zaim Ikhwan dan Ismanira juga dicadangkan untuk membawa isu itu kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
"Sekiranya tidak ada sebarang tindakan berhubung kes kebocoran gambar dan maklumat siasatan ini, polis mencadangkan agar isu itu dibawa kepada JIPS Bukit Aman.
"Apa sahaja siasatan yang dilakukan hendaklah dimaklumkan kepada kami berhubung perkara ini," katanya.
Pada 30 Jun lalu, polis menyiasat penyebaran gambar memaparkan keadaan kecederaan pada mayat yang didakwa adalah Zayn Rayyan.
Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 203A Kanun Keseksaan iaitu pendedahan maklumat serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 8 Akta Rahsia Rasmi 1972.
Hantaran yang tular menerusi aplikasi Telegram itu dipercayai gambar ketika prosedur proses bedah siasat didakwa yang dijalankan terhadap Zayn Rayyan.