Tular buaya tembaga berjemur
Sinar Harian
Ogos 14, 2018
08:45 MYT
Kelibat seekor buaya berjemur yang berjaya dirakam sekumpulan pemuda di Ampangan Jajar, kelmarin. -Sinar Harian
Kemunculan seekor buaya dipercayai jenis buaya tembaga sepanjang kira-kira dua meter di atas batu Sungai Besut berhampiran Ampangan Jajar dekat Gong Duek di sini yang menjadi viral di laman sosial kelmarin dikatakan perkara biasa buat individu tertentu.
Namun sebelum ini kelibat buaya berjemur atau timbul di permukaan air tidak pernah dirakam oleh orang ramai yang melihatnya.
Bagaimanapun tindakan sekumpulan pemuda yang sedang memancing merakam gambar buaya sedang berjemur dapat membuktikan jajaran Sungai Besut memang terdapat buaya seperti diperkatakan orang selama ini.
Seorang petugas Ampangan Jajar, Ghani Ibrahim, 47, mendakwa terdapat tiga buaya yang bersarang di sungai bahagian bawah berhampiran ampangan tersebut.
Menurutnya, seekor daripada tiga ekor buaya tersebut dipercayai ibu dan dua lagi adalah anaknya.
“Saya pernah lihat ibu buaya itu berjempur pada bulan Februari tahun lepas dengan saiz badannya selebar kira-kira 0.6 meter (dua kaki ) dan dianggarkan lebih dua meter panjang manakala anaknya pada tahun lepas baru sebesar biawak.
“Saya percaya buaya yang dirakam gambar oleh pemancing petang kelmarin adalah anak buaya yang saya lihat dulu dan sekarang saiz sudah besar,” katanya.
Ghani berkata, bagaimanapun buaya tersebut tidak pernah mengganggu orang ramai yang melakukan aktiviti di sungai itu seperti memasang pukat.
Menurutnya, walaupun telah lama mengetahui kehadiran tiga ekor buaya di kawasan lubuk yang dikenali Batu Jai itu namun dia tidak pernah menghebahkan perkara ini selama ini.
Manakala seorang nelayan darat dari Kampung Gong Duek, Mahusin Mat Rifin, 45, berkata, sepanjang lebih dua tahun menjadi nelayan di sekitar sungai tersebut dia tidak pernah melihat kelibat buaya.
Menurutnya, bagaimanapun dia tahu beberapa kawasan di Sungai Besut seperti di bahagian atas Ampangan Jajar dan Pasir Akar terdapat buaya besar.
“Telah lama orang memperkatakan ada buaya di situ dan walaupun tidak pernah melihatnya tetapi pukat yang saya pasang sering diangkat oleh buaya kerana menghalang laluannya.
“Kalau pukat terselak itu fahamlah kita bahawa tempat kita pasang pukat itu adalah laluannya, maka kena cepat-cepat alihkan pukat. Tapi kalau kita terus pasang di situ maka kali kedua pukat itu akan dipecahkan o buaya tersebut,” katanua.
Sementara itu, salah seorang pemancing, Muhammad Shafiq Yusof, 19 berkata, dia menemani lima rakannya ke bahagian bawah ampangan itu untuk memancing kira-kira jam 6 petang, kelmarin.
Menurutnya, sebaik sampai di tebing sungai tersebut, mereka terpandang seekor buaya sedang berjemur lalu salah seorang rakannya terus merakam gambar tersebut.
“Kami sempat melihat buaya tersebut berjemur di situ selama tiga minit sebelum ia turun ke dalam sungai selepas menyedari kehadiran kami,” katanya yang tinggal kira-kira 500 meter dari situ.
Muhammad Shafiq berkata,itulah kali pertama dia dan rakannya melihat buaya di situ walaupun selalu ke situ untuk memancing.