Tular bawa pekerja naik lori: Kilang ayam sudah diarah tutup

Adie Sufian Zulkefli
Jun 15, 2021 21:54 MYT
Hamzah berkata, tindakan pengurusan kilang itu menghantar pekerja dengan menaiki lori ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda sangat tidak wajar. - Gambar/ Media sosial
SUNGAI PETANI: Kilang pemprosesan ayam di Bedong di sini, yang terbabit dalam insiden membawa sekumpulan pekerja warga asing membuat pemeriksaan COVID-19 menaiki sebuh lori dalam keadaan berhimpit sudah diarah tutup pada Isnin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata arahan itu dikeluarkan selepas kilang berkenaan didapati tidak mematuhi syarat dan prosedur operasi standard (SOP) total lockdown Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Beliau dalam pada itu berkata, tindakan pengurusan kilang itu menghantar pekerja dengan menaiki lori ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda sangat tidak wajar.
"Kita jangan hanya fikir keuntungan, kalau kita rasa kita mahu membantu pekerja... bantu secara lebih berhemah... kalau nak hantar mereka ke hospital (contohnya) ambillah bas... kalau boleh sewa bas.
"Bukan ambil (guna) lori bawa orang macam lembu... untung dah banyak bertahun-tahun... tiba-tiba bila ada masalah ini buatkan pekerja kita macam lembu sahaja... janganlah macam itu," katanya.
Hamzah berkata demikian selepas melakukan operasi mengejut di dua buah kilang di kawasan Perindustrian Bakar Arang, dekat Sungai Petani, pada Selasa.
Turut hadir, Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat.
Pada Ahad, polis menahan sebuah lori yang membawa sekumpulan pekerja warga asing memakai gelang kuarantin di Sungai Petani.
Gambar kejadian itu yang dirakam pengguna jalan raya kemudian menjadi tular di media sosial.
Sementara itu, mengulas mengenai operasi mengejut itu, Hamzah berkata, dua kilang dikenakan kompaun RM10,000 setiap satu kerana menyalahgunakan kebenaran operasi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Katanya, kedua-dua kilang itu mengemukakan permohonan kepada MITI untuk menjalankan operasi membuat pelitup muka, namun didapati menghasilkan beg dan pelampung mandi kanak-kanak.
#kilang ayam #Bedong #viral #gelang pink #Lori #Tular #berhimpit #macam lembu #Hamzah Zainudin #KDN
;