Tulang manusia prasejarah Gua Niah tiba di tanah air

Nickyson Nyambar
Mac 7, 2020 19:14 MYT
Abdul Karim ketika berada di bangunan MAS Cargo, Kuching bagi menyambut ketibaan artifak berkenaan. -Gambar Astro AWANI
Selepas 53 tahun berada di Amerika Syarikat, 122 fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah tiba di Kuching.
Menurut laporan, koleksi tulang prasejarah berkenaan tiba di bangunan MAS Cargo, Kuching pada kira-kira 7.30 pagi Sabtu.
Tulang-tulang berkenaan yang dipercayai berusia 4,000 tahun telah tiba di Sarawak secara berperingkat dengan pesawat Singapore Airlines dari Florida.
Ketibaan artifak bersejarah itu disambut Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Sarawak Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah dan pegawai Jabatan Muzium Sarawak.
Sejurus tiba, khazanah ini terlebih dahulu menjalani proses pemeriksaan oleh Jabatan Kesihatan Negeri sebelum diserahkan kepada pihak muzium Sarawak.
Jelas Abdul Karim, 122 fragmen fragmen tulang berkenaan telah diekskavasi dari Gua Niah, Miri bermula penghujung 1950-an sehingga awal 1960-an.
“Ia kemudian dihantar ke Amerika Syarikat pada 1966, iaitu ke Universiti Nevada, Las Vegas sebelum berpindah ke Universiti Florida, di Gainesville pada 2017 untuk tujuan penyelidikan
"Setelah lebih 50 tahun berada di luar negara untuk aktiviti penyelidikan, akhirnya (tulang) nenek moyang kita kembali ke Bumi Kenyalang," katanya.
Dalam masa sama, koleksi tulang yang terkenal itu akan menjadi tarikan kepada pameran manusia prasejarah Sarawak, di Muzium Arkeologi negeri itu yang akan dibuka pada hujung tahun ini.
"Apabila muzium itu dibuka kelak, orang ramai terutamanya rakyat Sarawak bolehlah menyaksikan artifak berkenaan yang saya percaya sungguh dekat di hati kita semua," katanya.
VIDEO: Fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah kembali ke Sarawak
#122 fragmen tulang manusia prasejarah Gua Niah #Abdul Karim Rahman Hamzah #Amerika Syarikat #Astro Awani #AWANI Sarawak #Jabatan Muzium Sarawak #Menteri Pelancongan Kebudayaan dan Kesenian #Sarawak
;