Tulang manusia ditemui di lokasi penemuan rangka Bella sah miliknya

Siti Nur Aqilla Omar
Mac 30, 2024 12:10 MYT
Lokasi penemuan tulang manusia berdekatan rumah sewa terbiar di Tongkang Pechah. - Foto fail/Sinar Harian (Gambar kanan: Bella)
BATU PAHAT: Enam tulang yang ditemukan berhampiran rumah sewa di Kampung Batu 7, Tongkang Pechah, dua bulan lalu, sah milik Bella.
Kakak Bella, Norhisham Samsusah, 36, mengesahkannya selepas keluarganya menerima laporan forensik daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, malam tadi.
Katanya, keputusan mengenai tulang ditemukan itu sudah diperolehi dan mereka sekeluarga dimaklumkan ia milik arwah Bella atau Mila Sharmila Samsusah.
“Alhamdullillah, syukur. Semalam, ( 29.03.2024) saya dimaklumkan keputusan ujian forensik mengenai tulang yang ditemui baru-baru ini telah keluar dan dimaklumkan memang milik arwah adik saya Bella.
“Sekali lagi perasaan kami hari ni bercampur aduk, sebak, sedih, kecewa dan marah semua ada.
“Bila agaknya luka kat hati ni akan pulih,” katanya dalam sebuah hantaran Facebook, hari ini.
Norhisham atau lebih dikenali sebagai Ayu berkata, pihaknya akan membuat tuntutan tulang terbabit di HSI dan akan dikebumikan di pusara Bella di Tanah Perkuburan Islam Banang Jaya, di sini.
“Di bulan yang penuh keberkatan ini saya memohon jasa baik semua untuk mendoakan arwah.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa arwah, semoga Allah terima segala amalan beliau dan mengangkat darjatnya disisi Allah, semoga dilindungi dari seksa kubur,” ujarnya.
Terdahulu, Bella dipercayai dibunuh teman lelakinya, Mohammad Haikal Mahfuz, 24, yang kini sudah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#tulang manusia #Bella #Mila Sharmila Samsusah #laporan forensik
;