Tulang kambing terlekat pada jari kanak-kanak

Sinar Harian
Mei 3, 2024 12:00 MYT
Tangkap layar video pasukan bomba menjalankan pemeriksaan sebelum memotong cincin tulang kambing, Rabu lalu. - Foto Sinar Harian
TELUK INTAN: Seorang kanak-kanak perempuan terpaksa mendapatkan bantuan bomba bagi mengeluarkan tulang kambing yang terlekat pada jari telunjuk tangan kanannya pada Rabu lalu.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia lapan tahun sedang menikmati juadah kambing perap daripada sebuah jenama terkenal tempatan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan, Mohd Ismail Mohd Yunus berkata, mangsa tiba bersama bapanya sekitar jam 8.45 malam meminta bantuan memotong tulang kambing yang terlekat pada jari.
"Pasukan terus membuat pemeriksaan awal dan mendapati jari mangsa sedikit bengkak serta kemerah-merahan.
"Alat pemotong khas telah digunakan untuk mengeluarkan tulang berkenaan. Operasi dijalankan dengan penuh berhati-hati sambil menenangkan mangsa yang mula menangis," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Menurut Mohd Ismail, operasi diketuai Abdul Hazhar Ismail itu selesai kira-kira 20 minit kemudian dan jari kanak-kanak tidak mengalami kecederaan.
"Kebiasaannya pasukan menerima khidmat khas potong cincin yang tersekat tetapi ini pertama kali kami menerima kes melibatkan tulang kambing," katanya.
Terdahulu tular video di media sosial memaparkan usaha pasukan bomba memotong tulang kambing yang terlekat pada jari kanak-kanak tersebut.
Video dimuat naik BBP Teluk Intan di aplikasi TikTok itu meraih 2.5 juta tontonan selain menerima 14,900 perkongsian dan 108,400 tanda suka. - Sinar Harian
#tulang kambing #Kanak-kanak #terlekat #JBPM
;