Tukun kapal terbang pertama ditenggelamkan cipta rekod MBOR

Hafizi Rosli
Mei 20, 2022 22:32 MYT
Buat pertama kalinya kapal terbang ringan dijadikan tukun dan ia diturunkan pada kedalaman 18 meter daripada dasar laut di Pulau Lang Tengah, Terengganu - Foto/PPTD
KUALA NERUS: Sebuah rangka kapal terbang ringan yang diturunkan ke dasar laut Pulau Lang Tengah, Terengganu berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) pada Jumaat.
Ia merupakan kapal terbang ringan pertama yang diturunkan untuk dijadikan tukun bagi membantu persekitaran habitat hidupan laut selain menjadi tarikan baharu di Pulau Lang Tengah.
Usaha penenggelaman rangka kapal terbang jenis Piper PA-31 Navajo atau dikenali sebagai Chieftain ini dijalankan melalui program ‘Malaysia Book of Records: First Aircraft Reef In Malaysia’ bermula 19-212 Mei ini dianjurkan oleh Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PPTD).
“Semasa merancang projek ini, PPTD sudahpun mendapat pengesahan daripada pihak Bahagian Taman Laut, Jabatan Perikanan Malaysia termasuk MBOR.
“Ia bagi memastikan semua garis panduan dan piawaian berkaitan termasuk aspek keselamatan alam sekitar diambilkira dan dipatuhi agar tukun yang ditenggelamkan adalah mesra alam sekitar kepada kehidupan marin,” kata Presiden PPTD, Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan ketika majlis pelancaran program pada Jumaat.
Tukun berkenaan berjaya diturunkan pada kedalaman 18 meter dari dasar laut.
Kapal terbang dengan panjang anggaran 10 meter dengan lebar sayap 12 meter itu melalui proses pengubahsuaian dengan enjin, tingkap serta beberapa bahagian pesawat dibawa keluar bagi menggalakkan pembiakan hidupan laut serta memudahkan penyelam untuk menikmati pengalaman di tukun berkenaan.
“Tukun kapal terbang ini dilabuhkan ke kawasan dasar berpasir, maka secara langsung akan mengurangkan tumpuan penyelam di terumbu karang sedia ada.
“Dengan ini tekanan ke atas terumbu karang di sekeliling perairan Pulau Lang Tengah dapat dikurangkan sebagai satu usaha meningkatkan kesedaran pemeliharaan dan pemuliharaan alam marin,” jelasnya.
Usaha mencatat rekod MBOR ini turut melibatkan pemilik rangka kapal terbang, Dorken Reef Resources (DRR), yang juga berkepakaran dalam pengendalian pemasangan dan pembinaan tukun.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Perikanan, Kementerian Kewangan (MOF), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta sokongan strategik daripada Summerbay Resort Lang Tengah, Evenesis dan Gaya Travel Magazine.
PPTD ditubuhkan pada 13 Januari 1950 dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kerajaan daripada skim PTD seluruh negara.
#tukun #kapal terbang #Pulau Lang Tengah #selam skuba
;