Tukar tenaga solar, USAS jimat hampir RM70,000 setahun kos bil elektrik
Aida Aziz
Julai 25, 2022 07:45 MYT
Julai 25, 2022 07:45 MYT
KUALA KANGSAR: Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini dapat mengurangkan kos operasi universiti itu dengan penjimatan elektrik melalui penggunaan tenaga solar.
Naib Canselor USAS Tan Sri Prof Dr. Nordin Kardi berkata, projek pemasangan panel solar di USAS yang berkapasiti 361.125 kWp dijangka siap sepenuhnya pada awal Oktober depan.
Katanya penjimatan tersebut akan dinikmati melalui tarif solar yang kompetitif berbanding dengan tarif elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) semasa untuk tempoh 20 tahun.
"Ini bermakna pada tahun pertama selepas pemasangan panel solar, USAS dijangka dapat menjimatkan kos bil elektrik berjumlah RM69,217 dengan jumlah keseluruhan penjanaan tahunan tenaga sebanyak 474,091 kWh.
"Dalam tempoh kontrak selama 20 tahun, penjimatan bil elektrik keseluruhan USAS dijangka berjumlah RM2.8juta," katanya.
Beliau berkata demikian di majlis menandatangani Supply Agreement For Renewable Energy (SARE) Antara USAS Berhad, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan GSPARX Sdn. Bhd di USAS di sini pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Pegawai Retail TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan dan Ketua Perkhidmatan Pelanggan TNB Perak, Datuk Raja Abdul Jalil Raja Zaid dan Pengarah Projek GSPARX Sdn Bhd. Shuhaimi Ismail.
Dalam pada itu Nordin dalam ucapannya turut menyatakan penghargaan kepada TNB dan GSPARX Sdn. Bhd. kerana menjalin kerjasama strategik dengan USAS melalui kerjasama pintar.
Selain membantu USAS dalam menyokong ke arah pengurangan pelepasan karbon di samping dapat meningkatkan kesedaran mengenai ekosistem teknologi hijau dan faedahnya.
Tambahnya, kerjasama di antara TNB, GSPARX dan USAS ini menggambarkan komitmen semua pihak dalam meningkatkan kesedaran mengenai ekosistem teknologi hijau dan faedahnya dalam menzahirkan agenda kerajaan untuk mencapai pengurangan pelepasan karbon menjelang 2050.
"Daripada aspek sumbangan kelestarian alam sekitar, pemasangan panel solar di bangunan ini mampu mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida pada kadar tahunan sebanyak 336 tan metrik/ karbon dioksida.
"Ini bersamaan dengan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 5,555 batang anak pokok yang ditanam dalam tempoh 10 tahun,"katanya.
Tambah beliau, USAS tidak perlu mengeluarkan sebarang kos awalan untuk pemasangan sistem solar di bangunan yang telah dipilih.
Malah katanya, pemasangan photovoltaics (PV) solar juga akan membolehkan USAS menjual lebihan tenaga solar kepada TNB dan mendapat kredit tenaga bagi asas ‘satu-bagi-satu’ bagi mengurangkan lagi bilnya menerusi skim Net Energy Metering (NEM).