Tukar milik kenderaan secara biometrik, elak pemalsuan dokumen
Bernama
Mac 5, 2014 07:43 MYT
Mac 5, 2014 07:43 MYT
Proses pertukaran hak milik kenderaan menggunakan sistem biometrik secara atas talian yang akan memulakan projek perintis April ini bertujuan untuk mengelakkan kes pemalsuan dokumen.
Ia terjadi apabila penjual memalsukan surat akuan sumpah kerana tidak mahu pemilik kenderaan mengetahui tentang penjualan tersebut.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Seri Ismail Ahmad berkata dari tahun 2009 sehingga 2012 sebanyak 157 kes seumpama tersebut berlaku.
"Tahun 2011 mencatat kes tertinggi iaitu 50 kes diikuti 2012 (42 kes), 2013 (38), 2010 (18 kes) dan 2009 (sembilan kes)," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Putrajaya, Rabu.
Beliau berkata melalui kaedah berkenaan, pemilik asal dan bakal pemilik harus hadir sendiri ke kaunter JPJ berhampiran untuk mendaftarkan cap jari masing-masing sebelum memulakan transaksi jual beli.
Katanya, melalui kaedah itu, penjual juga tidak perlu menggunakan borang yang banyak dan urusan jual beli boleh dilakukan sepantas 10 minit walaupun kedua-dua pihak berada di dua lokasi berbeza.
"Namun urusan jual beli mesti dilakukan dalam masa tujuh hari jika melebihi tempoh itu mereka harus mendaftar semula di kaunter JPJ," katanya.
Beliau berkata proses tersebut juga diguna pakai untuk pengedar kenderaan terpakai di mana selepas enam bulan kenderaan tersebut secara automatik akan menjadi hak milik pengedar jika masih tidak dijual.