"Tukar lampin, suap makan kami, Benjy tidak lalui kehidupan normal" - Adik
Harits Asyraf Hasnan
Julai 11, 2021 17:36 MYT
Julai 11, 2021 17:36 MYT
KUALA LUMPUR: Kehidupan zaman persekolahan yang dilalui pelakon Benjy Ibrahim, tidak sama dengan kanak-kanak seusianya.
Dalam temu bual bersama Astro AWANI, adik Allahyarham Benjy, Inessa Irdayanty menyifatkan Benjy merupakan seorang abang yang sangat baik dan bertanggungjawab.
"Kakak saya (Elza Irdalynna) lahir semasa abang (Benjy) berumur 9 tahun, saya pula lahir semasa abang saya berumur 12 tahun... mama dan abah sibuk bekerja semasa itu. Benjy tidak pernah melalui kehidupan kanak-kanak yang normal.
"Sejak dia berumur 9 tahun, setiap hari selepas balik sekolah, dia akan bantu mama untuk jaga kami seperti tolong salin lampin dan suap makan.
[Panggilan Video] Benjy meinggal dunia di Medan
"Dia (Benjy) akan jaga kami seperti anak dia sendiri dan terus buat perkara sama sehingga kami besar," katanya dalam nada sebak ketika ditemu bual Astro AWANI hari ini.
Kata Inessa, setiap manusia tidak sempurna dan tidak akan lari daripada melakukan kesilapan, sama seperti Allahyarham abangnya.
"Segala kesalahan yang ditafsirkan oleh undang-undang yang dilakukan dia, kami tidak boleh nafikan kasih sayang kami kepada dia.
"Elza dan saya sangat terhutang budi dengan dia atas apa yang dia buat, menjaga kami sejak kecil, tiada apa yang mampu mengubahnya," kata Inessa yang akan mengenang abangnya sebagai seorang lelaki yang sarat dengan kasih sayang kepada keluarganya.
Allahyarham Benjy, 43, yang juga anak kepada aktres Allahyarham Azean Irdawaty menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital di Medan, Indonesia pada Ahad akibat penyakit asma.
Berita pemergian Benjy itu dimaklumkan oleh ayah Benjy, Khairil Anwar Zainal Mukhtar Rashidi kepada Astro AWANI.
#Benjy
#Benjy meninggal dunia
#Benjy Ibrahim meninggal dunia
#Inessa Irdayanty
#Elza Irdalynna
#Medan
#Indonesia