Tukang tilik kebas RM30,000 di Miri, warga emas terperdaya

Devonshire Sikem
Jun 24, 2023 07:30 MYT
Mohd Azman menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ramalan tilik nasib yang mencurigakan dan boleh merugikan diri sendiri. - Foto Astro AWANI
MIRI: Seorang warga emas kerugian RM30,000 gara-gara terperdaya dengan ramalan nasib tiga warga China yang mengaku tukang tilik nasib.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, insiden tersebut berlaku pada Isnin, 19 Jun lalu dan pihaknya menerima aduan daripada wanita berusia 80 tahun itu pada Jumaat.
“Mangsa didatangi sekumpulan tukang tilik ini ketika dalam perjalanan menuju ke kelas senaman pada awal pagi Isnin.
"Dia kemudiannya diberitahu bahawa keluarganya bakal ditimpa nasib malang sekiranya mangsa tidak mengikut ritual yang dituntut oleh ramalan tersebut.
"Tidak ingin musibah menimpa keluarganya, mangsa mengeluarkan wang simpanannya lalu menyerahkan sejumlah RM4,000 kepada tukang tilik nasib tersebut," katanya.
Mangsa, menurut Mohd Azman lagi, terus mengeluarkan baki RM26,000 daripada akaun banknya sebagai syarat mencukupkan 'ritual buang nasib malang' itu.
“Setelah itu, mangsa diarah mencuci kedua-dua tangan dan kaki di dalam sebuah kereta sebelum diserahkan satu bungkusan yang hanya boleh dibuka selepas empat hari ritual diselesaikan.
"Bungkusan berisi garam kasar itu dibuka selepas tamat tempoh pantang yang ditetapkan, iaitu pada Jumaat lalu.
"Ketika itulah mangsa sedar dirinya telah tertipu," tambah Mohd Azman.
Susulan kejadian tersebut, Polis Sarawak, terutamanya Polis Daerah Miri, katanya, kini giat memburu suspek.
Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan ramalan tilik nasib yang mencurigakan dan boleh merugikan diri mereka sendiri.
#tukang tilik nasib #penipuan #scam #warga china
;