Tukang sapu bersyukur masih ada kerja dan pendapatan sepanjang PKP

Bernama
Mei 2, 2020 10:58 MYT
Walaupun terpaksa bertugas ketika wabak COVID-19 menyerang seluruh dunia, golongan ini bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan. - Gambar Hiasan/BERNAMA
Dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika sebahagian besar rakyat Malaysia berada di rumah, ada kumpulan tertentu yang terpaksa bertugas terutama petugas di barisan hadapan dan perkhidmatan perlu.
Namun ada yang peranan mereka yang tidak disedari walaupun merupakan perkhidmatan yang penting, seperti pekerja-pekerja pembersihan yang bertungkus lumus untuk memastikan kebersihan kawasan persekitaran.
Bagi pekerja pembersihan, walaupun terpaksa bertugas pada ketika wabak COVID-19 menyerang seluruh dunia termasuk Malaysia, mereka masih bersyukur kerana masih mempunyai pekerjaan. Apa yang penting mereka masih mempunyai gaji tetap setiap bulan, sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Bagi Mohd Adli Umar, 48, dari Alor Mengkudu dekat sini, walaupun terpaksa berhadapan dengan sampah sarap setiap hari, dia tidak pernah ambil kisah, kerana baginya tugas sebagai tukang sapu adalah lebih baik daripada menganggur.
"Saya mempunyai empat anak berusia 11 hingga 20 tahun yang perlu ditanggung, isteri pula suri rumah. Jadi apa juga pekerjaan yang saya dapat, saya akan jalankan dengan penuh tanggungjawab, asalkan ia sumber rezeki yang halal," katanya kepada Bernama ketika ditemui di perkarangan Stadium Darul Aman di sini.
Menurut Mohd Adli, setiap pekerjaan ada cabarannya, dan bagi dirinya melakukan kerja pembersihan seawal 7 pagi hingga 4 petang itu, menjadi lebih mudah apabila mendapat kerjasama yang baik daripada rakan-rakan setugas.
Seorang lagi pekerja pembersihan Mohd Hafiz Ishak, 33, pula berkata, setiap individu harus berlapang dada menerima apa sahaja pekerjaan yang ditawarkan kepada mereka, asalkan diberikan pendapatan tetap setiap bulan.
"Bukan senang nak dapat kerja lain walaupun kita masih muda, jadi bersyukurlah dengan apa yang ada asalkan dapat 'mengisi perut' anak-anak dan isteri di rumah," kata Mohd Hafiz yang mempunyai tiga anak berumur lima hingga sembilan tahun, manakala isterinya juga adalah suri rumah.
Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, bekerja dalam tempoh negara diancam pandemik COVID-19 juga membimbangkan dirinya dan rakan-rakan, namun mereka sebolehnya mengamalkan jarakan sosial dan memastikan diri benar-benar bersih, sebelum bersama keluarga.
Sementara itu, pekerja di stesen minyak juga merupakan antara petugas yang masih menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa, sepanjang tempoh PKP ini.
Bagi Nur Anis Syahirah Mohd Fauzi, 20, yang baharu dua bulan bertugas sebagai pembantu di stesen minyak di sini, pengalaman bekerja dalam keadaan negara dilanda wabak merupakan satu kelebihan, untuk melatih dirinya supaya menjadi lebih kuat dalam mengharungi cabaran kehidupan.
"Saya tidak kisah perlu kerja kuat, berhadapan dengan cabaran. Walaupun gaji rendah, tetapi jika saya tidak bekerja, saya tidak akan ada apa-apa pendapatan dan saya juga tidak boleh memilih, kerana zaman sekarang bukan mudah dapat kerja walaupun kerja yang biasa-biasa," katanya.
-- BERNAMA
#COVID-19 #kerja #pandemik #pekerjaan #PKP #stesen minyak #tukang sapu
;