Tukang rumah didakwa lakukan persetubuhan dan amang seksual terhadap anak tiri
Dewi Nur Harasha Alias
April 29, 2022 14:25 MYT
April 29, 2022 14:25 MYT
BUTTERWORTH: Seorang tukang rumah didakwa di dua Mahkamah Sesyen Butterworth atas enam pertuduhan melakukan persetubuhan dan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tirinya yang berusia 11 tahun sejak dua tahun lepas.
Tertuduh yang juga seorang mualaf berusia 35 tahun itu mengaku bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Tamil dihadapan Hakim Norhayati Mohd Yunus dan Noor Aini Yusof hari ini.
Mengikut tiga pertuduhan, di hadapan Hakim Norhayati Mohd. Yunus, tertuduh didakwa melakukan persetubuhan terhadap kanak-kanak perempuan iaitu anak tirinya berusia 11 tahun 8 bulan di sebuah rumah di Bandar Perai Jaya antara Januari 2020 hingga 23 April tahun ini.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun dan boleh disebat jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh mengaku bersalah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof atas dakwaan melakukan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa.
Semua kesalahan didakwa dilakukan dalam tempoh dan alamat yang sama.
Bagi kesalahan tersebut, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah Kamaruzaman dan Muhamad Syeqal Che Murat, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 30 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan perubatan, laporan psikiatri dan laporan pusat temubual kanak-kanak (CIC).
Sementara itu, isteri tertuduh, yang juga ibu kandung kanak-kanak terbabit turut didakwa di hadapan Hakim Noorhayati atas kesalahan mengabaikan mangsa sama sehingga menyebabkan kecederaan emosi.
Kesalahan itu didakwa dilakukan dalam tempoh dan tempat yang sama.
Wanita berusia 40 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai tekstil itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aisyah Al Humayrah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Norhayati tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 31 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan psikiatri mangsa.