Tukang masak wanita maut dipukul kekasih dengan topi keledar
Astro Awani
April 1, 2019 18:35 MYT
April 1, 2019 18:35 MYT
Seorang wanita maut dipukul kekasihnya dengan topi keledar di bahagian kepala selepas kedua- duanya bertengkar dalam kejadian di Persiaran Bayan Indah, George Town.
Tukang masak berusia 37 tahun itu dipercayai dipukul kekasihnya yang berusia 55 tahun ketika keluar bersiar-siar di kawasan berkenaan kira-kira jam12 tengah malam Ahad.
Difahamkan, pertengkaran tercetus gara- gara mangsa cemburu dan menuduh kekasihnya itu mempunyai wanita lain .
Suspek yang berang dengan tuduhan wanita itu bertindak memukul kepala mangsa dengan topi keledar.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang berkata, kejadian tersebut disedari orang awam yang cuba menghalang dan kemudiannya menahan suspek sebelum menghubungi polis.
Che Zaimani berkata, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan dibawa ke Hospital Pulau Pinang ( HPP ) untuk rawatan, bagaimanapun dia disahkan meninggal dunia pada jam 5 pagi tadi.
Siasatan awal mendapati suspek mengenali wanita berkenaan dan keluarga mangsa sejak 15 tahun lalu namun baru berpasangan sebagai kekasih antara empat hingga lima bulan lalu.
Tambah beliau, semakan lanjut juga mendapati suspek yang bekerja sebagai nelayan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dengan kesemuanya melibatkan kesalahan membabitkan penyalahgunaan dadah.
Suspek direman selama tujuh hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
#Asisten Komisioner
#George Town
#jenayah
#keluarga
#maut
#meninggal dunia
#wanita maut dipukul kekasih