Tukang masak rentung, kereta terbakar langgar lori kayu lapis
Astro Awani
Disember 23, 2013 10:44 MYT
Disember 23, 2013 10:44 MYT
Seorang lelaki maut setelah kereta jenis Proton Saga yang dipandunya bertembung dengan sebuah lori sebelum terbakar di Jalan Sungai Lalang, Sungai Petani, Kedah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa yang dikenali sebagai Mohd Shamsuri Osman, 34, yang juga seorang tukang masak di Hospital Sultan Abdul Halim, maut di tempat kejadian setelah keseluruhan kenderaan yang dipandunya hangus terbakar.
Kereta itu sebelum itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar sebuah lori yang membawa papan lapis.
Menurut saksi, Arvin Sonamnathan, 18, mangsa tersepit di tempat duduk keretanya.
“Saya dengar bunyi orang minta tolong, tapi tidak boleh buat apa kerana semasa itu api sudah merebak ke seluruh kereta” beritahu saksi.
Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bedong, Kedah manakala lori terbabit dari arah Gurun ke Sungai Petani bagi menghantar barang.
Sementara itu, menurut Timbalan Penguasa Bomba, Rosdi Ismail, seramai 8 anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Petani dikerah bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa yang rentung seluruh badan dan memadamkan kebakaran.
Kemalangan kini disiasat dibawah seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.