Tukang masak melecur, rakan cedera dapur hotel terbakar
Sinar Harian
Mei 7, 2022 05:00 MYT
Mei 7, 2022 05:00 MYT
KOTA KINABALU: Seorang tukang masak melecur manakala rakannya cedera selepas dapur di sebuah hotel di sini terbakar pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.50 petang itu, mangsa dikenali sebagai Mohd Nuzul dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk mendapatkan rawatan manakala seorang lagi mangsa dikenali sebagai David hanya cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Ordine Gilu berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4 petang.
Katanya, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dikejar ke lokasi kejadian.
"Menurut laporan, kebakaran dapur akibat daripada kebocoran gas memasak dan api berjaya dipadamkan pekerja hotel berkenaan sebelum pasukan bomba tiba.
"Injap gas turut berjaya ditutup oleh pekerja hotel itu sendiri namun terdapat dua mangsa dilaporkan cedera. Seorang mangsa dihantar ke hospital oleh ambulans dan seorang lagi hanya cedera ringan namun tidak mahu dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, pasukan bomba di lokasi kejadian hanya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada bahaya lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 4.37 petang.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.