Tukang masak dituduh sebabkan kematian warga emas

Astro Awani
Februari 28, 2019 17:28 MYT
Wai Keong ketika di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Astro AWANI
Seorang tukang masak dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Jalan Theatre, Pekan Baru, awal bulan ini.
Liew Wai Keong, 46 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Nurul Hafizah Mohammad Pauzi.
Mengikut pertuduhan di bawah Seksyen 304A Kanun Keseksaan, Wai Keong didakwa menyebabkan kematian Goh Guan Cheong, 63 tahun, akibat kecuaian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di tangga bangunan Qiong Hai Association, Jalan Theatre, Pekan Baru di sini antara pukul 11 pagi dan 12 tengah hari, 2 Feb lalu.
BACA: Bergaduh dengan jiran, warga emas maut dirodok sudu
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Qistini Qamarul Abrar sementara tertuduh diwakili peguam, K. Shamini.
Nurul Qistini menawarkan jaminan RM10,000 tetapi Shamini meminta ia dikurangkan kerana tertuduh, seorang tukang masak di sebuah restoran di Sunway di sini, hanya bergaji RM1,000 dan perlu menyara ibunya yang berusia 71 tahun.
Shamini turut menegaskan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik kepada polis sepanjang siasatan.
Nurul Hafizah kemudian membenarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Mac depan bagi tarikh sebutan semula kes untuk mendapatkan laporan kimia dan bedah siasat mangsa.
Dalam kejadian pada 2 Feb lalu, satu pergaduhan tercetus antara Guan Cheong dan seorang lagi lelaki warga emas, Chai Ah Kin, 83 tahun, di tangga bangunan tersebut di mana Ah Kin ditikam dengan sudu besi dan maut di lokasi.
Ketika insiden, ibu Wai Keong yang turut ada di situ, cuba meleraikan pergaduhan tersebut tetapi dicekik oleh Guan Cheong.
Perbuatan itu dilihat oleh Wai Keong dan dia cuba selamatkan ibunya dengan menetak Guan Cheong dengan pisau.
Guan Cheong kemudian dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun namun meninggal dunia selepas dua minggu dirawat.
#ditikam #jalan theatre ipoh #Qiong Hai Association #sudu
;