Tukang masak didenda RM2,500 tendang motosikal anggota URB
Dewi Nur Harasha Alias
Januari 17, 2025 17:45 MYT
Januari 17, 2025 17:45 MYT
JAWI: Seorang tukang masak didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Jawi hari ini selepas dia didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah terhadap anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) yang sedang menjalankan tugas pada Selasa lalu.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara lima bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Majistret Nurul Ainna Ahmad menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Idris Md Eusoff, 33, selepas dia mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan lelaki itu didakwa telah menggunakan kekerasan jenayah menendang motosikal anggota itu bagi menakutkan anggota URB daripada menjalankan kewajibannya di Jalan Besar Valdor dalam daerah Seberang Perai Selatan, jam 12.25 tengah malam pada 14 Januari lalu.
Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, dua anggota URB sedang melakukan rondaan di Sungai Bakap meminta tertuduh memberhentikan motosikal yang ditungganginya untuk pemeriksaan.
Bagaimanapun dia melarikan diri selain menghimpit serta menendang motosikal anggota berkenaan menyebabkan kedua- dua anggota berkenaan terjatuh.
Pendakwaan di kendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norafifah Mohd Shokri manakala peguam, M Catherine Joysce dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh.
Semasa prosiding, Norafifah memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, peguam tertuduh merayu hukuman ringan dengan alasan lelaki itu sudah menyesal dengan perbuatannya selain perlu menanggung keluarga termasuk dua adik yang masih bersekolah.
Sementara itu, di mahkamah sama, lelaki yang masih bujang itu mengaku bersalah atas pertuduhan memiliki heroin 1.4 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dan menetapkan 20 Mac depan sebagai sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia.