Tukang masak didakwa enam pertuduhan termasuk cubaan bunuh warga Pakistan

Dewi Nur Harasha Alias
Februari 3, 2022 17:23 MYT
Lukman Abdullah mengaku bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus dan Majistret M. Kalairasi.- Foto BERNAMA
BUTTERWORTH: Seorang tukang masak didakwa di Mahkamah Butterworth hari ini atas enam pertuduhan termasuk cubaan membunuh seorang lelaki Pakistan bulan Januari lepas.
Lukman Abdullah, 33, mengaku bersalah bagi semua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus dan Majistret M. Kalairasi .
Di Mahkamah Sesyen, Lukman berdepan dua pertuduhan iaitu cubaan membunuh seorang lelaki Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api.
Semua kesalahan itu dilakukan kira-kira jam 6.20 petang pada 22 Januari lalu di premis No. 2369, Permatang Berangan, Tasek Gelugor.
Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Hakim bagaimanapun tidak membenarkan tertuduh diikat jamin atas kedua-dua pertuduhan sementara kes akan disebut semula pada 31 Mac depan.
Manakala di Mahkamah Majistret pula, dia turut didakwa memiliki dua butir peluru tanpa permit.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia
Bagi kesalahan itu dia dijatuhi hukuman penjara selama tiga bulan.
Dia juga turut berdepan tuduhan melakukan serangan ke atas lelaki Pakistan yang sama menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter.
Kes itu akan disebut semula pada 31 Mac depan sementara menunggu laporan balistik, manakala dia dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma’ ‘Amira Shahidani, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Tertuduh turut mengaku bersalah di mahkamah sama bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan ke dalam badannya sendiri dadah jenis morfin dan methamphetamine.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Kepala Batas, kira-kira jam 1.30 pagi pada 23 Januari lalu.
Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Mac ini.
#tukang masak #cubaan membunuh #warga Pakistan #Butterworth
;