Tukang masak bunuh penuntut UiTM dihukum gantung
Nazialita Geynna Maharan
Mei 12, 2017 15:58 MYT
Mei 12, 2017 15:58 MYT
Seorang bekas tukang masak dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Taiping, Perak pada Jumaat setelah didapati bersalah membunuh seorang pelajar perempuan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Pulau Pinang, dua tahun lepas.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan, mensabitkan Syarafi Abu, 27, atas kesalahan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.
Syarafi, didakwa membunuh Nur Syuhada Johari, 20, seorang penuntut UiTM Permatang Pauh di Kilometer 228.2, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Bukit Gantang, sekitar 11.55 pagi pada 2 Februari 2015.
Tertuduh, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati sekiranya sabit kesalahan.
Pihak pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya, Yusaini Amer Abdul Karim, Mohd Amril Johari dan Mohd Azrul Faidz yang mengemukakan kenyataan daripada 16 saksi manakala tertuduh yang diwakili Datuk Naran Singh menampilkan dua saksi termasuk tertuduh.
Pada 2 Februari 2015, Nur Syuhada dilaporkan ditetak di bahagian leher oleh Syarafi yang merupakan teman lelakinya ketika mereka berada di dalam sebuah kenderaan di lebuhraya.
Syuhada, dari jurusan Diploma Pengurusan Hotel dan Pelancongan menghembuskan nafas terakhir dua jam kemudian ketika sedang mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar.