Tukang kunci dipanggil untuk buka peti besi di rumah Najib
Isabelle Leong, Zaim Ibrahim
Mei 17, 2018 00:14 MYT
Mei 17, 2018 00:14 MYT
Seorang lelaki dipercayai tukang kunci, dilihat keluar dari kediaman rasmi bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Taman Duta di sini, malam tadi.
Namun lelaki yang kelihatan dengan sebuah kotak peralatan tersebut enggan memberikan sebarang komen ketika ditemui pemberita.
Sebelum itu, pada sekitar jam 6 petang tadi, peguam Najib, Datuk Harpal Singh Grewal berkata pihak polis masih dalam proses membuka peti besi tersebut yang berusia lebih 20 tahun.
Bagaimanapun, agensi berita Reuters melaporkan, dua tukang kunci dari syarikat Lion Steelworks Sdn Bhd dipanggil bagi membantu dalam proses pembukaan peti besi yang dikatakan kuncinya telah hilang.
Menurut Reuters, mereka telah menghubungi pengurus syarikat tersebut, Tan See Chong melalui pesanan ringkas dan Tan mengesahkan dua lelaki berkenaan bekerja di syarikat itu.
"Boleh buka, tidak susah. Kami syarikat pengeluar peti besi itu.
"Ia jenis peti keselamatan yang lama. Jenis ini akan mengambil masa yang lebih lama (untuk membuka) kerana mempunyai ciri anti-gerudi," laporan itu memetik Tan sebagai berkata.
Terdahulu, sekitar jam 4 petang tadi, puluhan kotak dipercayai mengandungi barangan peribadi Najib dibawa keluar oleh pihak polis menggunakan sebuah lori Polis Diraja Malaysia.