Tukang kebun rugi lebih RM300,000 terperdaya pelaburan tak wujud

Bernama
Oktober 17, 2023 19:53 MYT
Yahaya berkata mangsa mendakwa menyertai pelaburan itu selepas dimaklumkan hanya perlu mengeluarkan modal bagi jualan barangan di aplikasi tersebut. - Gambar Bernama
KUANTAN: Seorang tukang kebun mendakwa kerugian RM331,478.60 selepas diperdayakan untuk menyertai pelaburan di aplikasi TikTok, sejak Ogos lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa, 54, mendakwa menyertai pelaburan itu selepas dimaklumkan hanya perlu mengeluarkan modal bagi jualan barangan di aplikasi tersebut.
"Mangsa mendakwa diperkenalkan kepada pelaburan itu oleh seorang individu yang dikenali di laman Facebook dan diberikan pautan ke aplikasi yang kononnya akan merekodkan jumlah keuntungan diperoleh mangsa.
"Mangsa seterusnya mendakwa telah membuat 25 transaksi pemindahan wang ke 17 akaun diberikan suspek sepanjang terlibat dengan pelaburan itu dari 14 Ogos hingga 3 Okt lepas," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mangsa mendakwa wang yang dilaburkan adalah hasil simpanannya semasa terlibat dalam perniagaan sebelum menjadi tukang kebun.
Yahaya berkata mangsa menyedari ditipu apabila diminta membayar RM130,000 lagi sebelum dibenarkan mengeluarkan 'wang keuntungan' kononnya sebagai bayaran cukai, menyebabkan dia membuat laporan di Balai Polis Kuantan di sini, semalam.
Orang ramai dinasihatkan untuk membuat semakan sebelum menyertai sebarang pelaburan terutamanya yang menjanjikan pulangan lumayan dengan mudah supaya tidak menjadi mangsa pelaburan tidak wujud.
-- BERNAMA
#Facebook #pemindahan wang #jumlah keuntungan #TikTok
;