Tukang kayu rugi lebih RM400,000 terperdaya sindiket 'love scam'

Bernama
Februari 25, 2025 22:00 MYT
Yahaya Othman berkata selepas beberapa bulan perkenalan, lelaki berusia 62 tabun itu, telah diminta oleh suspek untuk membantunya membayar tiket kapal terbang bagi tujuan pulang ke Amerika. - Gambar hiasan/Astro AWANI
KUANTAN: Seorang tukang kayu mengalami kerugian RM420,750 akibat terperdaya dengan sindiket penipuan cinta atau 'love scam', selepas berkenalan dengan seorang perempuan di aplikasi Facebook pada Februari tahun lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata selepas beberapa bulan perkenalan, lelaki berusia 62 tabun itu, telah diminta oleh suspek untuk membantunya membayar tiket kapal terbang bagi tujuan pulang ke Amerika.
Beliau berkata mangsa yang berasa kasihan kepada suspek telah memindahkan sejumlah wang sepertimana dikehendaki dan sejak dari itu, warga emas tersebut sering kali diminta suspek untuk membantunya atas pelbagai alasan.
"Mangsa telah membuat sebanyak 132 kali transaksi ke dalam dua akaun yang berbeza berjumlah RM420,750. Wang berkenaan adalah hasil dari wang simpanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mangsa. Ada juga wang yang telah dipinjam dari rakan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari individu yang tidak dikenali dan turut diingatkan untuk membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima di pautan https://semakmule.rmp. gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.
-- BERNAMA
#KWSP #Facebook #warga emas #sindiket
;