Tukang kayu mengaku bersalah rogol anak kandung 13 tahun
Abdul Hadi Awang
Disember 1, 2020 16:36 MYT
Disember 1, 2020 16:36 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang tukang kayu berusia 43 tahun mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Sungai Petani, hari ini, atas pertuduhan merogol anak kandungnya yang berusia 13 tahun, Oktober lalu.
Lelaki itu membuat pengakuan berkenaan selepas jurubahasa mahkamah membacakan pertuduhan terhadapnya di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa merogol anak perempuannya itu di sebuah kampung di Baling, kira-kira jam 5.30 petang, 27 Oktober lalu.
Susulan itu, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim kemudian menetapkan 13 Januari depan bagi proses pengurusan fakta kes dan menjatuhkan hukuman.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh tidak diwakili peguam.