Tukang kayu dipenjara 15 tahun, 5 sebatan rogol anak kandung 13 tahun
Abd Hadi Che Awang
Februari 11, 2021 17:03 MYT
Februari 11, 2021 17:03 MYT
SUNGAI PETANI: Seorang tukang kayu berusia 44 tahun dihukum penjara 15 tahun dan lima sebatan di Mahkamah Sesyen Sungai Petani hari ini, kerana melakukan sumbang mahram dengan merogol anak kandung perempuan berusia 13 tahun Oktober tahun lalu.
Hakim Azman Abu Hassan membuat keputusan itu selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa merogol anak perempuannya itu di sebuah rumah di kampung di Baling, sekitar jam 5.30 petang, 27 Oktober tahun lalu.
Susulan itu, dia didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 376B (1) Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Selepas mengambil kira pengakuan bersalah yang dibuat, mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara dan lima sebatan ke atas tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Galvin Loo Wei Ming manakala tertuduh diwakili peguam Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.
#sumbang mahram
#tukang kayu
#rogol
#Anak perempuan
#anak kandung
#13 tahun
#dipenjara
#sebatan
#Baling
#Kedah