Tukang kayu didenda RM6,000 perdaya pelanggan

Sinar Harian
Disember 27, 2021 07:42 MYT
Tertuduh (dua kiri) dibawa ke Mahkamah Majistret pada Isnin. - Foto Sinar Harian
KUALA PILAH: Seorang tukang kayu dijatuhi hukuman denda RM6,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memperdaya pelanggannya sehingga mengalami kerugian RM3,650 tahun lalu.
Majistret Saiful Sayoti turut memerintahkan tertuduh, Muhammad Ezuwan Nordin, 31 menjalani hukuman penjara tujuh bulan jika gagal membayar denda itu.
Berdasarkan pertuduhan pilihan, tertuduh telah menipu Ramli Yunus, 32 dengan memperdayakan beliau dalam urusan pemasangan kabinet dapur di rumahnya.
Dengan itu tertuduh dengan curangnya telah mendorong beliau untuk menyerahkan wang tunai berjumlah RM3,650 kepada tertuduh yang mana beliau tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 19 Jun 2020 sehingga 2 Julai 2020 jam lebih kurang 11.26 pagi sehingga 10.49 malam bertempat di sebuah rumah di Taman Senimas, Kuala Pilah.
Oleh demikian, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur ‘Aqilah Syarfa Nik Zaidi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Artikel asal di Sinar Harian
#Mahkamah Majistret #tukang kayu #memperdaya pelanggan #pemasangan kabinet
;